(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. ( Luqman 31:16 )

Friday, January 7, 2011

10 Tanda-tanda kiamat dari Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra.

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata:
“Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari qiamat“. Lalu Nabi saw. bersabda: “Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya“. Kemudian beliau menyebutkannya:
  • Asap,
  • Dajjal,
  • Binatang,
  • terbit matahari dari tempat tenggelamnya,
  • turunnya Isa bin Maryam alaihissalam,
  • Yakjuj dan Makjuj,
  • tiga kali gempa bumi, sekali di timur,
  • sekali di barat dan
  • yang ketiga di Semenanjung Arab
  • yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”.
(H.R. Muslim)
Difailkan dalam: Hadith, Kiamat

(Kat: Ilmu)

Thursday, January 6, 2011

Wangi-wangian syurga, dan Kematian Penghuninya

Selalunya, manusia menanam bunga di kawasan perkuburan. Namun kisah ini, bunga muncul secara tiba-tiba dalam lihang lahad apabila jenazah diturunkan ke dalamnya. Ambillah iktibar dari kisah ini.

Kisah ini berlaku di sebuah masjid di selatan ibu Kota Kuala Lumpur. Masa tu, hari Jumaat. Solat Jumaat sudah dimulakan apabila bilal melaungkan azan dan sejurus kemudian imam naik ke mimbar untuk mula membaca khutbah.

Imam kali ini ialah seorang pemuda yang berusia 28 tahun. Muda lagi. Dan sudah berkahwin. Jemaah di situ memang sudah arif sangat dengan imam ini. Imam ini memulakan khutbahnya.
Sampai pada perkataan, “Uusikum Bitaqawallah, Waiyaa….. ……… ……… .”. Tiba-tiba imam ini terdiam…. Semua para jemaah diam (memang dengar khutbah kena diam pun) dan hanya memerhati sahaja ke arah imam.

Semua mata tertumpu kepadanya. Imam masih lagi senyap. Matanya terpejam rapat. Tiba-tiba tangan imam yang sedang memegang kayu mimbar, melurut ke bawah, dan beliau pun jatuh terduduk di atas kerusi khatib. Kepalanya terlentuk ke bawah.

Makmum yang masih tergamam dengan peristiwa ini, segera bangun untuk melihat apa yang terjadi. Bilal menerpa ke arah imam dan ingin membantu serta menolong jika sesuatu yang buruk berlaku kepada khatib.

Imam (khatib) dipapah turun dan diletak di hadapan para jemaaah di saf hadapan. Setelah diperiksa oleh bilal, tiada perkataan lain yang boleh diucapkan selepas itu melainkan, “Innalillahi wainna Ilaihi roojiuun…” . ,

Sewaktu imam itu menghembuskan nafas terakhirnya, jatuhnya betul-betul di atas kerusi yang berada di belakangnya dan terus sahaja duduk. Tidak jatuh tersungkur ke depan, dan tidak juga jatuh sama ada ke kiri atau ke kanan mimbar.

Elok sangat duduk atas kerusi khatib, imam tersebut telah pun meninggal dunia….Jenazah pun dibawa balik untuk diuruskan… Ustaz M (bukan nama sebenar) pun dipanggil untuk menguruskan jenazah ini.

Sebaik kain penutup mayat diselak untuk memulakan proses mandian jenazah, ustaz M begitu terkejut bercampur terharu yang amat sangat bila melihat beberapa kejadian mengkagumkan berlaku pada mayat.

Badannya jenazah itu amat berseri dan masih nampak kelihatan darah masih mengalir lagi pada seluruh tubuhnya. Seolah-olah jenazah ini masih hidup.
Dan yang lebih mengkagumkan keluarnya satu haruman yang semerbak dari badan jenazah. Wangi sungguh! Tak pernah ustaz M mencium bau wangian sebegini rupa selama dia menguruskan jenazah lain sebelum ini!

Hebat mayat ni, fikir ustaz M… Subhanallah! beliau berdoa ; “Ya Allah! Engkau Maha Mulia! Engkau telah memuliakan mayat ini, maka muliakanlah ia sehingga aku selesai memandikannya. Rupanya-rupanya kemuliaan jenazah imam ini tidak berakhir di situ. Doa ustaz M dimakbul Allah SWT. Menurut ustaz M lagi, sewaktu jenazah imam ini nak ditanam ke dalam liang lahad, sahabat-sahabat yang menggali kubur memberitahu, muncul pula pelbagai jenis bunga-bungaan yang datang entah dari mana, turut berada di dalamnya .

Cantik sungguh liang lahad dengan dihiasi bunga-bungaan tersebut, seolah-olah sedang meraikan dan menanti kedatangan bakal penghuni syurga!

SUBHANALLAH! SUBHANALLAH!. Ustaz M bertanya pada isterinya tentang apakah amalan si arwah pada masa hidup sehinggakan jenazahnya mendapat pengikhtirafan sebegitu rupa sejak dari alam dunia lagi.

Menurut kata isteri arwah imam tersebut, sepanjang hidup bersamanya ialah tidak pernah meninggalkan solat sunat Dhuha dan solat sunat Witir. Inilah amalan istiqamahnya.
Setiap malam, sebelum arwah menutup dairi kehidupannya hari itu dan tidur, pasti dia akan menunaikan solat witir. Setiap hari, sehinggalah ke pengakhiran hayatnya, ditambah pula oleh amalan-amalan lain yang dilakukan sebagai seorang yang menjawat jawatan sebagai seorang imam untuk kawasan tersebut. Wallahua’lam 

POST DARI SHEHDI RAGIUN..TERIMA KASIH KERANA MENYAMPAIKAN

Tuesday, January 4, 2011

Imam Nawawi telah menetapkan enam keadaan di mana mengumpat adalah diharuskan. (Al Azkar – Imam Nawawi hal. 303)

-------------------------------------------------------------------------------------

1- Ketika Dizalimi.
Orang yang dizalimi boleh bersuara untuk mengadu tentang perbuatan orang-orang yang telah menzaliminya. Imam an-Nawawi telah berkata:“Adalah harus bagi yang dizalimi mengadu kepada sultan, qadhi atau mereka yang lain yang mempunyai kekuasaan atau kemampuan untuk menghilangkan kezaliman daripada dirinya.”(Al Azkar; Ibid) 

Nabi telah bersabda:“Sesungguhnya yang mempunyai hak itu mempunyai perkataan (yakni berhak untuk bersuara).” (Bukhari – Muslim) 

Jika yang melakukan kezaliman itu ialah orang-orang atasan, kita hendaklah menceritakan tentang perkara ini kepada mereka yang lebih berkuasa daripada mereka, agar tindakan dapat dilakukan secara berkesan. Imam al-Ghazali telah berkata:“Jika yang melakukan kezaliman itu ialah seorang Hakim, seseorang itu berhak mengadu tentang kezaliman itu kepada pihak pemerintah.” (Ihya Ulumuddin bab Mengumpat) 

Jika pihak pemerintah telah melakukan kezaliman, rakyat perlu diberitahu tentang kezaliman pemimpin mereka apatah lagi di dalam keadaan mereka berkuasa untuk memilih pemimpin pada musim pilihanraya. 



2- Meminta Pertolongan Untuk Mencegah Kemungkaran.
Menceritakan tentang kemungkaran yang dilakukan seseorang untuk mendapatkan bantuan untuk mencegahnya, adalah diizinkan.



“Ketika sampai berita kepada Omar bahawa Abu Jundul telah membuat arak di Syria, beliau terus menulis surat untuk menegurnya. Abu Jundul terus bertaubat dan Omar tidak berpendapat bahawa berita yang sampai kepadanya itu adalah satu umpatan.”(Ihya ‘Ulumuddin; Ibid)

Jika kuasa yang ada di tangan rakyat dapat membantu ke arah menjatuhkan pemimpin-pemimpin yang telah melakukan kezaliman, kita boleh mendedahkan tentang kezaliman mereka kepada rakyat agar kesedaran rakyat akan mampu mengubah suasana ke arah yang makruf. 



3- Ketika Meminta Fatwa.
Di haruskan menceritakan tentang keaiban orang lain kepada yang berilmu untuk mendapatkan fatwa darinya. Tanpa maklumat itu, berkemungkinan hukum dan fatwa tidak akan dapat diberikan secara tepat. Dalam konteks ini, seorang isteri yang tidak mendapat hak dari suaminya harus menceritakan tentang ketidakadilan suaminya untuk mendapatkan fatwa dan nasihat dari orang-orang yang layak. Kes yang seperti ini telah berlaku di zaman Rasulullah:“Hindun binti Utbah telah bertanya hukum kepada Rasulullah tentang suaminya (Abu Sufyan) yang bakhil: ‘Dia tidak memberikan harta yang mencukupi bagiku. Bolehkah aku mengambil hartanya tanpa pengetahuannya?’ Jawab Rasulullah: ‘Ambillah secara yang mencukupi untuk diri dan anakmu secara yang makruf.’ ”(Bukhari –Muslim) 





4- Mengingatkan Orang Islam Dan Menakutkan Mereka Tentang Sesuatu Kejahatan Dan Bidah.
Masyarakat perlu disedarkan tentang kumpulan-kumpulan dan tokoh-tokoh sesat di dalam masyarakat agar mereka dapat berwaspada dari golongan-golongan ini. Mendedahkan tentang mereka tidak dianggap sebagai suatu umpatan malah kadangkala ianya merupakan suatu tuntutan.Rasulullah telah bersabda:“Aku tidak yakin bahawa si pulan dan si pulan mengetahui tentang agama sedikitpun.”(Bukhari) 



Di dalam hadis ini Nabi telah menceritakan tentang keaiban dua orang munafik agar sahabat-sahabat berwaspada dengan mereka. 

Imam Al Ghazali telah berkata:“Apabila kamu melihat seorang alim sering mendatangi seorang pembuat bid’ah atau kefasikan, dan kamu takut bid’ah itu menular kepadanya, maka kamu berhak menceritakan tentang keaiban orang itu kepada si alim tadi. Yang menggerakkan kamu melakukannya ialah ketakutan menjalarnya bid’ah dan kefasikan dan bukan disebabkan oleh faktor-faktor lain.”(Ihya Ulumuddin; Ibid) 

Penghinaan ke atas syariat dan undang-undang Allah merupakan kemungkaran yang amat besar yang sedang berlaku di dunia Islam pada hari ini. 

Imam Nawawi telah berkata:“(Diantara perkara yang harus diumpatkan) ialah tentang mereka yang mempunyai kekuasaan tetapi tidak menggunakannya di atas jalan yang hak ataupun mereka ini merupakan orang-orang yang fasik, lalai dan yang seumpamanya. Wajib diberitahu kepada pemimpin tertinggi agar dilucutkan jawatannya dan digantikannya dengan seorang yang lebih layak.”(Al Azkar; Ibid)

Bila yang fasik, lalai dan zalim adalah dari kalangan pemimpin yang tertinggi, kuasa rakyat perlu digunakan untuk menggantikan mereka dengan pemimpin-pemimpin yang lebih baik. 



5- Umpatan ke Atas Mereka Yang Menzahirkan Maksiat.
Mereka yang sanggup mengiklan dan mendedahkan kemaksiatan dan tidak berasa malu dengannya, tidak layak untuk dihormati. 



Omar Al Khattab pernah berkata:“Tidak ada kehormatan ke atas orang-orang yang fajir.”Imam Al-Ghazali telah menafsirkan kalimat ‘fajir’ sebagai “yang melakukan kefasikan secara terang-terangan tanpa selindung.”(Ihya Ulumuddin; Ibid)Menceritakan tentang golongan yang sanggup menzahirkan maksiat tanpa perasaan segan-silu adalah diharuskan. 

Imam Al-Ghazali telah menegaskan:“Orang-orang lelaki yang menampakkan dirinya sebagai wanita, mereka yang mempunyai tempat minuman keras yang mana arak diminum secara terang-terangan dan mereka yang meminta harta menusia secara paksaan, kesemua mereka adalah termasuk di dalam golongan yang menzahirkan perbuatan keji, dimana mereka tidak memelihara diri mereka dari disebut-sebut. Apabila kamu menceritakan tentang mereka dan maksiat yang mereka zahirkan, maka kamu tidak berdosa.”(Ihya Ulumuddin; Ibid) 

Pemimpin yang memperkecilkan syariat Allah secara terang-terangan adalah termasuk di dalam golongan yang tidak layak untuk dihormati. 

Imam Hasan Al-Basri telah berkata:“Tiga golongan manusia boleh diumpat: yang mengikut hawa nafsu, yang melakukan kefasikan secara terang-terangan dan imam (pemimpin) yang zalim.”(Ihya Ulumuddin; Ibid) 



6- Memberi Gelaran Kepada Seseorang Untuk Pengenalan Pada Ketika Yang Diperlukan.
Jika di dalam sesebuah kampung ramai daripada penduduknya bernama Muhammad, harus diberikan gelaran bagi setiap seorang daripada mereka untuk memudahkan pengenalan. Sebagai contoh, seorang digelar dengan Muhammad Surau, seorang dengan Muhammad Tomyam, Muhammad Bisu dan seumpamanya.

POST DITERIMA DARI KELAB SHEHDI RAHIUN, TERIMA KASIH....ilmu disampaikan untuk semua..

Berikut adalah cara-cara mengenali Pasangan Hidup kita -> bagi yang bakal mendirikan Masjid, InsyAllah


Subject: 10 jodoh...

Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7) 

Gunakan seluruh pancaindera
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan? 


Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita. 

2.Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan. 

3.Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita. 

4.Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan. 

5.Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya. 

6.Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan? 

7.Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita. 

8.Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya. 

9.Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

POST INI DITERIMA OLEH SEMUA KELAB SHEHDI RAGIUN FB.

Sunday, January 2, 2011

Aktiviti Sepanjang 2011 - (1) Landskap Halaman Rumah

Pendahuluan
Saya telah menetap dirumah saya dari duduk menyewa di bangi. Apabila saya berulang-alik dari rumah ke tempat kerja, saya merasakan saya mesti mempunyai perancangan untuk membelanjakan kewangan saya. Dalam menambah pendapatan saya, selain berniaga sate dengan membantu keluarga saya, saya juga bekerja sebagai Jurutera Perisian di Rezzen (M) Sdn Bhd. Dengan pendapatan saya secara kasar dalam RM 2200.00 sebulan, saya tidak tahu kemana saya patut membelanjakan wang tersebut. Muncul satu idea dalam benak saya untuk merekacipta halaman rumah saya di Bentong, Pahang, iaitu landskap halaman rumah. Walaupun masih amatur saya sangat berminat dalam seni arkitektur laman ini. Justeru, saya selitkan kronologi saya mencipta landskap halaman rumah saya di alamat:

No. 77, Rumah Murah,
Batu 1, Jalan Tras,
28700 Bentong
Pahang

Pembersihan
Pada tahap pembersihan, saya membersihkan halaman rumah saya. Minggu ini adalah minggu yang agak memenatkan kerana saya terpaksa membersihkan bendasing-bendasing yang berada di setiap pelosok laman saya. Dalam proses saya telah mengkategorikan item-item bendasing ini:
1.    Besi
2.    Kayu
3.    Batu-batu kecil
4.    Batu-bata
5.    Kepingan atap genting &
6.    Tanah
Setelah selesai mengasingkan item-item bendasing ini, saya dan ayah saya telah membersihkan laman secara peringkat. Setiap hujung minggu sama ada sabtu atau ahad, atau sabtu dan ahad sekiranya ada masa lapang saya akan membersihkan laman rumah saya.

Perancangan
Pada tahap ini, setelah selesai proses pembersihan, saya memerlukan perancangan teliti. Sebelum saya merancang, saya membuat sedikit kajian mengenai pembinaan landskap halaman, ini kerana halaman rumah saya agak besar, kerana rumah saya terletak pada sudut hujung taman perumahan kos rendah ini. Jadi setelah membuat perancangan, dan mencerna idea, saya dapat menyudahkan pelan struktur untuk membina landskap. Dalam fasa perancangan ini, saya telah bertanyakan pendapat, serta kos untuk pembinaan landskap ini. Walaupun kos yang diunjurkan/dicadangkan ibu saya agak tinggi, tetapi ibu saya telah mencadangkan bahawa dia bersedia untuk membantu saya dalam penyediaan kos. Buat masa ini, ibu saya sibuk dengan pendaftaran serta kerja-kerja beliau. Ibu saya masih bekerja, dalam masa 3 tahun akan datang, beliau akan bersara dari Guru Tabika Perpaduan. Gambar ini saya skecth secara roughfly atau secara kasar. Sumbangan sedikit idea telah diberikan oleh pendapat ibu saya mengenai rekaletak/susunatur pelan.


Permulaan Kerja-kerja pembinaan landskap
Ketika proses ini, saya dan 2 anggota keluarga saya melakukan kerja-kerja pembersihan serta membina pathway atau laluan jalan kaki untuk saya letakkan batu 3 ¼ ke tempat laluan tersebut. Sebelum membuat laluan tersebut, saya telah ukur secara kasar, saiz laluan tersebut, dan menetapkan lebih kurang 2 kaki atau 2 1/3 meter. Setelah selesai membuat laluan tersebut saya mengandaikan permulaan projek ini adalah, projek fasa satu. Fasa kedua agak kompleks dan sukar sedikit dari tahap pertama, ini kerana projek pada tahap kedua memerlukan banyak peralihan item-item seperti batu ke kawasan sebelah.

Peletakkan item(batu 3 ¼) ke kawasan pathway
Proses kerja ini, saya meletakkan batu 3 ¼ ke kawasan laluan pathway. Laluan ini saya letakkan dengan batu kerikil dan juga batu sungai sebesar segenggam tangan atau bersaiz lebih besar sedikit dari saiz tesebut. Kombinasi warna sangat sesuai, kerana batu 3 ¼ ini sangat sesuai dengan kombinasi batu kerikil besar, ini kerana, ketika saya meletakkan batu 3 ¼ pada laluan tersebut, menampakkan sedikit kekotoran pada batu 3 suku tersebut. Tetapi sememangnya kombinasi yang menarik, apabila batu tersebut terkena air, dengan serta-merta kekotoran tersebut hilang dan menampakkan hasil warna yang menarik iaitu warna putih serta kelabu. Ini menimbulkan lagi  pathway focus yang saya bina.

Selain itu, saya juga meletakkan batu bujur hitam bersaiz 1 inci, batu ini sekampit berharga RM 26.00, di kawasan pokok bunga keladi dan hiasan di sudut laman saya. Saya juga membaja tumbuhan berdaun saya bagi menggalakkan pertumbuhan daun serta membesar dengan cepat, juga saya turut meletakkan racun siput, bagi mengelakkan tumbuhan berdaun saya dimakan siput babi. Tumbuhan berdaun adalah makanan bagi haiwan perosak ini. Setelah selesai meletakkan baja, saya susun batu sungai hitam 1 inci di keliling pokok berdaun saya. Harapan saya semoga tumbuhan berdaun ini, dapat menjadikan sudut landskap saya bertambah menarik dengan daun lebarnya. insyAllah.

Pada 3/1/2011, kerja-kerja penyelenggaraan kecil dilakukan oleh ayah saya. Semalam saya telah meninjau perubahan kecil yang dilakukan oleh abah saya. Pada bahagian sebelah kanan dari pandangan dalam, abah telah mengalihkan batu-bata merah, dengan batu sungai hitam. Setelah itu, tanah digemburkan untuk memberi sedikit perubahan pada pokok bunga berdaun.


Pagi ini 4/1/2011 saya telah meneliti blog yang dimiliki oleh teratak kesidang puteh sangat menarik, saya bercita-cita ingin menjadikan laman rumah saya seperti, pemilik blog teratak kesidang puteh. Justeru saya jadikan blog ini, sebagai model dan contoh untuk saya mengembangkan bakat saya dalam ilmu Landskap ini. Pautan lain yang menjadi salah satu rujukan saya ialah impiana-iman blog

2010 - 2011 / Menginjak ke Tahun Baru, memori tahun lalu

Azam Baru 2011 – memori 2010

Selembar 2010

2010 sudah dilepasi, 2011 pula menanti untuk dilalui. 2010 adalah tahun yang dilalui dengan pelbagai macam masalah, kegembiraan, kesedihan dan pelbagai rencah kehidupan telah saya lalui. Tahun 2010 saya jadikan sebagai sempadan, peringatan serta panduan untuk hidup saya yang akan datang kelak. Tahun yang mendatang ini, telah saya isikan dengan azam baru saya, serta nafas, dan cuba untuk meneguhkan lagi keimanan saya pada Pencipta kita, Allah SWT.

Sekilas 2010, pada awal tahun 2010 saya memasuki semester baru sebagai senior tahun 3, di UKM. Tahun 3 adalah tahun penamat saya sama ada saya dapat habisi atau saya kandas sebagai senior tahun 4 di UKM. Sememangnya ada kebenaran bahaya Tahun Akhir bagi senior-senior adalah tahun yang sangat mencabar buat saya serta rakan-rakan. Tahun 3 juga saya tempuhi dengan suka duka perasaan saya, mahu dicampak jauh-jauh rasanya pengalaman buruk saya, dan mahu sahaja saya lupakan pengalaman buruk saya. Saya mahu membuka lembaran baru di tahun 2011 ini, insyAllah.

Pertengahan tahun 2010 adalah masa kritikal saya, iaitu saya sedang melalui FYP atau Final Year Project saya, Projek Tahun Akhir, (PTA) saya. Sememangnya amat sukar, walaubagaimanapun, saya mesti harungi juga cabaran ini demi mencapai segulung ijazah yang hanya tertulis, IJAZAH SARJANA MUDA TEKNOLOGI MAKLUMAT DENGAN KEPUJIAN (SAINS KOMPUTER).

Setelah tamat PTA saya, alhamdulillah, saya harungi pula dunia pekerjaan. Tatkala mencari-cari pekerjaan, saya telah lalui pelbagai temuduga, dari yang formal kepada yang tidak formal, dari yang susah, sehingga ke mudah. Temuduga pertama saya agak tidak menjadi dan tidak bersesuaian, kerana saya masih mencari-cari tips untuk menjalani temuduga dengan baik serta cara-cara mendapatkan perhatian penemuduga, sehinggalah saya sudah berputus asa untuk mendapatkan kerja, saya memohon kerja di tempat saya menjalani latihan industri, sememangnya saya amat berat hati untuk bekerja disini, walaubagaimanapun, saya terpaksa mencuba untuk mendapatkan kerja. Setelah pergi ke temuduga tersebut, ternyata dengan mudah saya mendapat kerja tersebut. Majikan syarikat terbabit sememangnya dengan mudah menerima saya, lantas saya terima dengan hati yang berbelah bahagi, walaupun pada senyuman saya terima dengan hati yang berat. Setelah bekerja selama 2 minggu, saya akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti atas alasan yang sememangnya saya tidak boleh terima bekerja di bawah tekanan. Waktu masuk bekerja adalah pukul 9.00 pagi, tetapi waktu pulang tidak menentu. Pada minggu pertama sememangnya saya pulang awal, tetapi minggu kedua, ketiga saya mula pulang lewat, kira-kira pukul 8.00 malam, ini menyebabkan saya kepenatan, lantas tidak dapat menahan suasana bekerja begini. Saya juga bekerja dengan paksaan yang perkara saya pelajari tidak sejajar dengan apa yang saya mesti lakukan, tanpa bimbingan penyelia. MasyAllah beginikah dugaan saya. Lantas saya berhenti bekerja dengan syarikat ini.

Saya seterusnya meneruskan gerak kerja saya mencari pekerjaan yang lebih sesuai dengan saya, dalam pencarian tersebut, saya ternampak pekerja diperlukan di sekitar KL Sentral, orang yang meletakkan query tersebut adalah orang yang saya kenal juga, iaitu senior saya ketika dia masih menuntut di UKM. Lantas saya mencuba nasib untuk jawatan tersebut, saya hadiri temuduga, walaupn saya di bawah skor, tetapi bakal majikan saya melihat resume saya pada bahagian pengalaman dalam teknikal, itulah yang membuatkan saya mendapat jawatan sebagai Jurutera Perisian di Rezzen (M) Sdn Bhd.

Alhamdulillah sehingga menginjak ke tahun baru 2011 ini, saya masih bekerja di Rezzen, walaupun terdapat sedikit kekurangan di Syarikat ini, saya masih berpuas hati kerana kerja yang saya terima disini tidaklah seberat dan sesusah yang saya alami di Syarikat yang saya berkerja sebelum ini. Inilah coretan 2010 saya, walaupun agak meleret panjang, masih banyak lagi yang tidak saya coretkan disini.

Moga-moga tahun baru ini 2011 ini akan membawa rahmat Allah kepada saya dalam limpah kurniaNya, barakAllah huliwalakum...amin.

Menginjak 2011
Salam untuk tahun 2011, walaupun dalam kalendar Islam sudah melepasi tahun baru, tetapi mengikut kalendar kamari 2011 adalah tahun berikutnya. Saya mengimpikan pelbagai perkara pada 2011 ini. Antaranya adalah dalam perancangan serta benak fikiran saya ingin mencari jodoh saya. Tahun ini adalah tahun yang saya harapkan banyak perubahan dari dalam dan luar diri saya. Semoga Allah melimpahkan kurniaNya kepada hamba yang kerdil ini.

Azam saya ialah, memohon kepada Allah SWT meningkatkan tahap keimanan saya ketahap yang lebih tinggi, dari sebelum ini. Meningkat dan menebalkan benteng iman saya, supaya dapat melawan Anasir Syaitan. Saya juga sedar tahun berikutnya adalah tahun 2012, iaitu tahun yang diramalkan pelbagai perkara yang telah tersurat dan tersirat mungkin akan berlaku. Semuanya perkara telah termaktub dalam Loh Mahfuz serta PengetahuanNya.

Justeru 2011 membawa saya berkeinginan untuk meneruskan sunnah serta perkara yang pernah dilakukan oleh Nabi Allah Muhammad SAW, iaitu mendirikan masjid, insyAllah. Selain itu, tahun ini juga saya menyimpan azam untuk memiliki kereta, bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya kemudahan untuk saya berulang alik ke tempat kerja, kerana sekarang saya ke tempat kerja dengan menaiki motor, sekiranya perkara yang tidak sepatutnya berlaku, seperti tayar pancit, saya akan menghadapi kesusahan, jadi saya perlu menyelesaikan masalah ini, insyAllah, semuanya saya telah rancang, hanya menunggu jalan yang Allah benarkan sahaja. Kesemuanya atas kehendak Dia, saya manusia hanya merancang, dan mengikut perjalanan waktu sahaja.

Sorotan selain itu, saya tidak mempunyai apa-apa impian selain dari menginginkan apa yang telah saya nyatakan sahaja. Azam baru ini membuatkan saya ingin lebih mengenali Pencipta saya, dan ingin mendalami ilmu yang telah disampaikan oleh Rasul-rasulNya, serta dari pemberian nikmatnya, Cuma kita sebagai manusia perlu nikmati dan hayati apakah yang diberikannya. insyAllah dengan cara itu, kita akan lebih mengenali siapakah Dia di sisi kita sebagai manusia kerdil ciptaanNya, Allah SWT.

Salam semua, barakAllah huliwalakum. Semoga berada dalam pengamatanNya dan RahmatNya, amin.